Followers

Saturday, 16 November 2013

Pemilihan Pimpinan : Fikrah yang jelas menjadi keutamaan

"
bukan kerana ia sorang ulamak atau bukan kerana ia seorang professional/teknokrat.....pokoknya fikrah mau jelas....pemimpin datang dan pergi...ramai yg tercicir dek fikrah masih kabur
PEMILIHAN PIMPINAN : FIKRAH YANG JELAS MENJADI KEUTAMAAN

Di dalam kehangatan Muktamar PAS Pusat yang akan diadakan tidak lama lagi, suka untuk saya lontarkan sedikit pandangan.

Di dalam Rukun Baiah yang telah disusun oleh Imam Hassan al Banna meletakkan “al Fahmu” iaitu kefahaman sebagai elemen paling utama sebagai seorang ahli gerakan Islam. Syeikh Muhammad Abdullah Khatib yang menyusun Kitab Risalah Ta’lim (Imam Hassan al Banna) menyatakan kenapa kefahaman dan fikrah yang jelas menjadi keutamaan berbanding ciri-ciri yang lain, beliau menyatakan :

“Faktor yang mencerai beraikan kaum muslimin dan menjadikan mereka berpecah belah dan berpuak puak ialah perselisihan dalam memahami Islam dan Aqidahnya”

Maka Imam Hassan al Banna mengutamakan “kefahaman” dan fikrah yang jelas sebagai kriteria pertama dan utama bagi seorang ahli gerakan Islam. Syeikh Muhammad Abdullah Khatib menyatakan lagi;

“Justeru, Imam Hassan al Banna sangat prihatin terhadap kefahaman yang sebenar dan menjadikannya sebagai rukun yang pertama dan menetapkannya sebagai salah satu prinsip dua puluh, sebagai lingkungan yang dapat memelihara Islam daripada tersilap dan terseleweng. Jika kefahaman ini tidak dijadikan salah satu rukun bai’ah, nescaya akan muncul dalam Jamaah Ikhwan Muslimin “madrasah pemikiran” yang pelbagai dan tidak menjadi jamaah (organisasi) yang satu.

Kita tidak menafikan beberapa kenyataan yang mengatakan “kita mesti mengangkat mereka yang buat kerja dan “terkenal” dengan kerjanya”. Ya, benar. Ia merupakan salah satu keutamaan. Namun, Imam Hassan al Banna meletakkan rukun “amal” (bekerja) pada tahap ketiga.

Iaitu dimulai dengan faham, ikhlas dan amal.

Hari ini ramai yang tersilap faham, iaitu dengan mengutamakan “amal” (bekerja) berbanding dengan faham dan ikhlas. Mereka melihat orang yang selalu tersiar mukanya di dalam akhbar, merupakan orang yang kuat bekerja dan mesti diletakkan sebagai barisan hadapan. Hakikatnya Imam Hassan al Banna meletakkan keutamaan pada faham dan ikhlas, kemudian baru amal.

Sesuatu amal (pekerjaan) seseorang itu akan tercacat sekiranya dilakukan tanpa kefahaman yang jelas, dan keikhlasan yang tidak seberapa.

Antara kesilapan besar, apabila meletakkan seseorang di barisan hadapan bukan kerana kerjanya, bukan kerana kefahamannya, bukan kerana keikhlasannya, tetapi kerana kemasyhurannya, dan kekerapan wajahnya tersiar di akhbar.

Saya tidaklah menunding jari atau melabel mana-mana calon sebagai “fikrah tak jelas” atau “fikrah merapu”. Akan tetapi saya mengetengahkan ulasan yang bersifat umum. Para perwakilan berhak menilainya sendiri.

Apabila ada yang bertanya, “mengapa enta menggunakan kalam Imam Hassan al Banna sebagai hujah?”.

Maka saya menjawab, beliau adalah tokoh gerakan Islam yang dikenali. PAS sebagai sebuah gerakan Islam, maka wajarlah menjadikan tokoh gerakan Islam sebagai contoh. Menjadi satu kecacatan apabila sebuah gerakan Islam itu meletakkan Karl Marx sebagai contoh, ataupun mengetengahkan pemikiran pemikiran mereka.

Saya tidak berhujah dengan “rasional” atau kalam kalam pemikir barat. Tetapi saya mengetengahkan kalam kalam pemikir Islam. Bahkan buku Risalah Ta’lim juga menjadi salah satu manhaj bagi tarbiah PAS sejak sekian lama.

Muhammad Mujahid Ibnu Ir Fadzil
Ahli Jawatankuasa
Lajnah Keahlian Ulamak Pelapis 
PAS Perak "

al-brangionline:

Siiru 'Ala Barokatillah