Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini menyertai barisan anggota kabinat yang menggesa P Waythamoorthy meletak jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.Khairy berkata, Waythamoorty perlu berbuat demikian sekiranya tidak mahu menggunakan saluran sesuai apabila bertentang pendapat dengan menteri lain.
NONE"Sebagai anggota pentadbiran, kita tidak boleh membuat kenyataan sebagai ketua NGO. Ada saluran untuk memberi pandangan kepada menteri dalam negeri.
"Tak mahu guna saluran, beliau patut melepaskan tugasnya. Patut tinggal jawatan dalam pentadbiran. Jangan pertikaikan tindakan polis yang telah dipersetujui oleh jemaah menteri secara terbuka.
"Ini melanggar prinsip kebertanggungjawaban bersama dalam Jemaah Menteri. Saya harap beliau membuat pilihan, kalau tak dapat hormati kebertanggungjawaban bersama, beliau harus melepaskan jawatan dalam pentadbiran," katanya dalam sidang media pagi ini.
Kenyataannya itu selari dengan pendirian dua menteri kanan - Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menggesa Waythamoorty meletak jawatan.
NONEGesaan itu timbul susulan kenyataan Waythamoorthy yang tidak puas hati dengan kematian lima lelaki dipercayai anggota kongsi gelap dalam operasi polis di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah bekas ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang turut menyokong pandangan tersebut.
Mohd Ali yang juga bekas naib presiden Umno berkata tindakan tegas oleh kementerian dalam negeri yang diketuai Zahid bertujuan memerangi penjenayah yang terlibat.

"Pihak polis tidak pilih kasih untuk menjaga keselamatan (awam). Waythamoorthy tidak boleh mempolitikkan hal-hal keselamatan sebagaimana beliau dalam Hindraf," katanya selepas menerima tugas sebagai pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sebelum itu.