Rakyat Malaysia mesti belajar hidup dalam keadaan kurang kebebasan jika mahu membina Malaysia yang lebih baik, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

"Kita mesti kurangkan sedikit kebebasan kita, kawal diri dan kawalan kendiri," katanya dalam sebuah acara di Kuala Lumpur.

Katanya, terlalu banyak kebebasan menyebabkan lebih peluang untuk pihak tidak bertanggungjawab untuk menyalah guna dan mengeksploitasi kebebasan, yang menyebabkan ketidakstabilan.

Bercakap dalam sesi berkaitan politik Malaysia selepas pilihan raya umum ke-13, Mahathir menyebut isu perkauman sensitif yang kerap dibangkitkan kebelakangan ini apabila undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri tiada lagi.