Sebuah kumpulan hak asasi manusia hari ini mengaitkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan kempen "jalur keras" menjelang muktamar pemilihan PAS dengan menggunakan isu kemazhaban dalam Islam.

Mengulas kenyataannya bahawa Syiah berpotensi menjadi fahaman berbahaya, Setiausaha Agung AsSajjad Movement Husin Sajjad menyifatkan tindakan itu tidak sihat dan tidak bertanggungjawab.

NONE"Adalah dipercayai, kata-kata beliau ‘tidak akan membiarkan pengaruh Syiah berkembang dalam parti itu sendiri' merupakan satu modal kempen awal oleh blok ‘Islam keras'," dakwa Husin.

Mohd Amar pada 14 Jun lalu dilapor menggesa semua pihak berperanan serius memastikan fahaman Syiah tidak menular dan masyarakat Islam mesti mengukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bagi mengelak kesan buruk sebagaimana yang kini berlaku di Syria.

Timbalan pesuruhjaya III PAS Kelantan itu juga berkata, ulama Syria pernah mendedahkan kekesalan kerana membiarkan golongan Syiah Alawiyah yang merupakan penduduk minoriti menguasai tampuk pemerintahan negara, sekali gus menindas penduduk majoriti yang berfahaman ASWJ.

"Kumpulan Syiah ini apabila mereka 'di atas' (berkuasa), mereka menekan orang-orang Sunni," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pagi di hadapan pejabat PAS Kelantan di Kota Baharu.

pas muktamar 130610 abdul hadi awangDalam kenyataannya hari ini, Husin berkata, kenyataan itu juga tidak konsisten dengan penyertaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Taqrib Antara Mazhab di Tehran, Iran pada Mac 2010.

Menurut Husin, dalam kunjungan hormat dengan Parti Motalefeh, mereka bertemu dengan Saedi Amani, setiausaha agung parti berkenaan yang dirujuk oleh Harakah, organ rasmi parti PAS sebagai "parti Ahmadinejad".

"Kami di AsSajjad Movement ingin menasihatkan Mohd Amar bahawa niat terselindung beliau dan kem ‘jalur keras' dalam PAS untuk mencemarkan nama baik presiden dan mengaitkannya dengan isu kemazhaban merupakan satu langkah politik yang fatal dan akan membawa kemusnahan kepada diri sendiri," katanya.
pas muktamar voting 030611Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 tahun ini akan berlangsung di Selangor pada 22 hingga 24 November depan.
Mesyuarat agung tahunan PAS bagi peringkat cawangan pula ditetapkan bermula 25 Mei ini hingga 15 Julai manakala peringkat kawasan 12 Ogos hingga 30 September.

Sementara Muktamar Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama peringkat negeri pula, tarikh yang ditetapkan bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober manakala dewan-dewan peringkat pusat akan berlangsung pada 20 hingga 21 November.

Muktamar tahun ini akan menyaksikan pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya, 2013 hingga 2015.

[sumber .]