Followers

Monday, 20 May 2013

Ketika mana air 'mancut' dan saat mana pulak ia 'meleleh? Ikuti temuramah dengan TS Khalid MB Selangor-Ku

Isnin Mei 20, 2013
Temuramah Khas Dengan MB S'gor: Pusat & Negeri Boleh Duduk Semeja Selesaikan Isu Air Dengan Baik
Abdul Khalid ketika ditemui di rumahnya di Damansara Heights, Kuala Lumpur.
MUKADIMAH:
Tan Sri Khalid Ibrahim telah pun mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor untuk penggal kedua baru-baru ini tetapi beliau masih belum mengumumkan senarai exco di bawah pentadbiran barunya itu.
Dalam temubual dengan wartawan RAZAK AHMAD beliau menceritakan apakah yang akan menjadi keutamaannya kali ini.
SOALAN: Apakah keutamaan segera Tan Sri?
MB: Kami kini di dalam proses untuk menilai semula segala kerja yang telah kami lakukan sepanjang lima tahun yang lalu bagi mengenalpasti apakah yang telah berjaya dilaksanakan dan apakah yang perlu diperbetulkan.
Ini termasuklah mengkaji semula program bantuan sosial kami sama ada ia benar-benar berkesan atau perlu dipertingkatkan lagi.
Misalnya jika hendak menawarkan skim insurans kepada warga tua ia hendaklah dipastikan yang bantuan ini diberikan terus kepada keluarga dan bukannya menerusi pihak ketiga mahupun cawangan parti atau ketua kampung.
Kami juga perlu memastikan manifesto pilihan raya dilaksanakan dalam semua program sosial yang baru untuk tempoh dua atau tiga tahun ini.
SOALAN: Bagaimanapun pula dengan pelan ekonomi negeri.
MB: Sepanjang tempoh lima tahun yang lepas, Negeri Selangor berjaya memperolehi pelaburan sehingga RM50 bilion dari dalam dan luar negeri.
Sasaran kami kali ini adalah untuk mengekalkan angka tersebut atau mencapai yang lebih baik daripada itu.
Saya percaya kepada ekonomi yang berasaskan pasaran bebas dan oleh yang demikian akan terus mempromosikan pelaburan swasta sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Jadi adalah amat penting untuk memastikan para pelabur menaruh kepercayaan kepada kemampuan pentadbiran kerajaan negeri.
Sudah tentulah tujuan orang berniaga adalah untuk membuat keuntungan tetapi pada masa yang sama adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan yang mereka lakukan itu dalam keadaan yang tidak menjejaskan kebajikan masyarakat dan rakyat negeri ini.
SOALAN: Dalam hubungan ini, apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri dalam mengstrukturkan semula industri air di negeri ini.
MB: Saya telah pun mengutus surat kepada perdana menteri untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaannya memenangi pilihan raya yang lalu dan pada masa yang sama mengingatkan beliau yang pengundi di Selangor telah memilih Pakatan Rakyat untuk menguruskan negeri itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pada pandangan saya, dalam situasi mood semasa mungkin kerajaan negeri dan pusat boleh mengambil peluang ini untuk duduk semeja dan berbincang bagaimana kedua-dua belah pihak dapat menyelesaikan isu air ini demi kesejahteraan warga Selangor.
SOALAN: Dalam proses untuk menyelesaikan masalah air ini apakah kerajaan negeri bersedia memikirkan soal konsesi?
MB: Jika kami memikirkan ini adalah yang terbaik untuk rakyat Selangor, maka konsesi boleh difikirkan. Kami berpendapat kami mempunyai opsyen yang lebih baik berbanding apa yang ditawarkan oleh kerajaan pusat dalam Projek Langat 2.
Tetapi saya telah memutuskan, di sebalik semua ini, Selangor bersedia untuk memasukkan Langat 2 dalam proses penyusunan semula industri air.
SOALAN: Selangor adalah salah sebuah negeri yang penting untuk pertumbuhan ekonomi negara. Banyak projek-projek transformasi ekonomi persekutuan memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk dilaksanakan di peringkat negeri. Apakah dalam kes Selangor, ia akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan?
MB: Projek-projek transformasi di bawah inisiatif kerajaan persekutuan bukan sahaja penting untuk untuk memastikan pertumbuhan berterusan untuk negara tetapi pada masa yang sama juga penting kerana Selangor terletak di Lembah Klang. Kesannya sangat besar kepada sebarang pertumbuhan ekonomi. Selangor telah membuktikan yang ia dari semasa ke semasa memberikan kerjasama kepada projek-projek gergasi infrastruktur seperti projek LRT dan MRT.
SOALAN: Salah satu daripada manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya yang lalu iaitu janji untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan. Apakah manifesto ini akan diteruskan?
MB: Kami akan cuba untuk melaksanakannya. Memang terdapat banyak keraguan tentang kemampuan untuk melaksanakannya tetapi isunya ialah sama ada ia boleh dilaksanakan kerana undang-undang persekutuan tidak memperuntukkan pelaksanaannya.
Sekiranya undang-undang persekutuan dipinda, maka Selangor berkemampuan untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan secara adil dan praktikal. Bagaimanapun pilihan raya kerajaan tempatan mungkin tidak sesuai diadakan di setengah-setengah majlis tempatan kerana tidak semua berkemampuan untuk menyediakan bajet bagi pelaksanaannya.
Oleh yang demikian, eksesais seperti ini masih memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan.
SOALAN: Apa komen Tan Sri berhubung kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang mengatakan tidak wujudnya perbincangan secara menyeluruh dengan kepimpinan negeri berhubung kedudukan jawatan Menteri Besar.
MB: Pada saya, pandangan yang diutarakan itu lebih bersifat politik dan pandangan peribadi daripada pandangan profesional. Soal pengurusan adalah soal profesional. Mana-mana ketua pegawai eksekutif tidak akan dapat mengkritik seorang CEO yang lain tanpa memahami gaya kepimpinannya, mood dan situasi di mana dia berada.
SOALAN: Bagaimanapun dengan proses pemilihan barisan exco negeri?
MB: Kita telahpun mengadakan beberapa perbincangan dan rundingan dengan rakan-rakan dalam PR. Dan saya telah pun menulis kepada Tuanku Sultan untuk mengemukakan nama-nama exco saya.
Beberapa kriteria dan pertimbangan telah pun diambil kira dan saya menjangkakan yang maklum balas akan kita terima daripada pejabat Sultan sebaik sahaja saya kembali dari luar negara pada Jumaat ini (24 Mei). Majlis angkat sumpah akan dilangsungkan pada minggu berikutnya.
SOALAN: Ada yang berkata, proses pelantikan itu lama sangat.
MB: Kita mahu melakukan proses ini dengan berhati-hati dan betul kerana terdapat tiga parti yang terlibat (PKR, DAP, PAS). Lewat sedikit beberapa minggu untuk memilih mereka yang akan memimpin kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun dari sekarang bukanlah satu isu yang besar.
SOALAN: Tetapi salah satu daripada kritikan ke atas gaya pentadbiran Tan Sri ialah Tan Sri mengambil masa yang agak panjang untuk membuat keputusan. Apakah kritikan ini berasas?
MB: Saya terpaksa belajar untuk memimpin Selangor dalam tempoh yang sangat singkat. Apabila saya dilantik ke jawatan ini dahulu, saya tidak pernah melalui beberapa proses menyelesaikan kes sepertimana yang saya hadapi sekarang. Maka saya terpaksa melakukan sesuatu mengikut cara yang baru bagi saya.
Jika saya mahu mengikut gaya pentadbiran kerajaan terdahulu maka saya tidak ubah seumpama klon. Tetapi kini saya rasa keputusan akan dibuat lebih pantas memandangkan saya sudahpun melalui tempoh lima tahun mentadbir negeri.
Pada masa yang sama sesetengah orang berniaga mempunyai tabiat mahu segala-galanya diselesaikan dengan pantas dan mahu memotong barisan dalam konteks mendapatkan kelulusan. Salah satu perkara yang kita semua harus terima ialah berlaku adil. Saya adalah seorang yang berpegang kepada falsafah kerja yang mana datang dahulu, itulah yang didahulukan dan ini bermakna, kelulusan akan diberi atau dipertimbangkan mengikut turutan giliran bukan dengan memotong barisan.
Malangnya ada orang yang merasakan yang mereka tergolong dalam golongan yang eksklusif maka itu perlu mendapat layanan istimewa dan tidak payah mematuhi peraturan.
SOALAN: Selepas lima tahun memimpin Selangor, apakah Tan Sri merasakan sudah memperolehi cara untuk memimpin dan menguruskan cabaran politik di peringkat negeri?
MB: Jika di dalam mana-mana syarikat pun pemegang saham hanya menyuarakan pandangan mereka ketika mesyuarat agung tahunan, iaitu sehari dalam 365 hari. Bagaimanapun dalam politik ahli politik boleh menyuarakan pandangan mereka 365 hari setahun walaupun ada kalanya bercakap tanpa fakta atau mengetahui perkara yang mereka perkatakan.
Di sebalik semua itu, saya berpendapat rakyat tetap memahami keadaan ini dan mereka juga mahu memberikan respon kepada apa jua yang dilakukan oleh kerajaan. Oleh yang demikian akan akan dapat menyaksikan lebih banyak komunikasi yang akan terjalin di antara kerajaan negeri dengan rakyat Selangor pada tahun-tahun yang mendatang.
[sumber .]

al-brangionline:

Rakyat memahami keikhlasan dan kepakaran YAB TS Khalid mengendalikan isu air tanpa berkepentingan walau setitis 'air' pun......Syabas TS Khalid MB Selangor Ku.