BETONG: Kira-kira 20,000 keluarga di negeri ini kini menikmati bekalan air bersih menggunakan sistem 'Lifesaver 1M' yang dimajukan di negara ini menggunakan teknologi nano British terkini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan sistem itu di Beladin, sebuah bandar perikanan dan pertanian, kira-kira 60 kilometer dari sini yang juga sebahagian daripada kawasan Parlimen Batang Lupar.
Berucap pada sesi perjumpaan dengan rakyat di perkarangan masjid bandar Beladin, Najib berkata, projek itu adalah satu lagi testimoni usaha berterusan kerajaan Barisan Nasional meningkatkan taraf kehidupan rakyat.


Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membelanjakan RM60 juta bagi melaksanakan projek itu.

"Dalam agenda pembangunan kita, kami beri perhatian membantu rakyat meningkatkan taraf hidup mereka melalui program transformasi.

"Kita mempunyai satu program dengan matlamat untuk membawa kemajuan dan pembangunan yang menyeluruh dalam negara dan untuk memperbaiki sistem penyampaian kerajaan. Kita juga mempunyai program transformasi luar bandar yang bermatlamat membina lebih banyak jalan, membawa lebih banyak projek bekalan air dan elektrik dan perumahan di kawasan luar bandar di seluruh negara," katanya.

Najib berkata, program transformasi jauh lebih bermanfaat daripada agenda reformasi pembangkang yang hanya akan mencetuskan lebih banyak masalah dan kerosakan.
Oleh itu, beliau merayu kepada rakyat supaya memberi mandat kepada kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 bagi memastikan kejayaan program yang dilaksanakan kerajaan lebih-lebih lagi di Sarawak yang juga sebuah negeri yang luas dengan penduduk yang bertaburan.

Beliau berkata, tidak seperti pembangkang, kerajaan BN sangat serius menunaikan janji yang dibuat berhubung kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Mereka hanya pandai menabur janji manis yang tidak dapat ditunaikan dan ini bahaya.

"BN mampu berpegang kepada janji-janjinya kerana ia mempunyai sumber untuk berbuat demikian berikutan kedudukan ekonominya yang kukuh yang mencatat pertumbuhan 6.4 peratus pada suku keempat 2012, yang juga merupakan satu daripada yang tertinggi di dunia," katanya.

"Ini juga bermakna ekonomi kita sangat baik. Kita ada banyak dana untuk melaksanakan lebih banyak projek dan bantuan yang sangat-sangat bermanfaat buat rakyat seperti bantuan kewangan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan kini kita mengagihkan bantuan BR1M 2.0 yang lebih baik," katanya.

Najib mengulangi sekali lagi jika keadaan ekonomi membenarkannya, kerajaan akan mempertimbang pemberian BR1M 3.0.

Mengenai kerajaan BN, beliau mengulangi bahawa kekuatannya adalah kerana ia percaya dengan konsep perkongsian kuasa di kalangan pelbagai kaum di negara ini.

"Kita juga sangat kuat dan stabil kerana kita bukan saja berkongsi kekayaan negara tetapi juga pelbagai cabaran dan masalah yang datang kepada kita di mana kita percaya dalam perundingan bersama.

"Malah kita juga berkongsi perayaan semua kaum," katanya sambil menambah tidak seperti pembangkang kerajaan Selangor yang setiap kali berdepan masalah ia akan menuding jari kepada BN.

"Selangor kini berdepan masalah kekurangan air yang serius tetapi kerajaannya masih berdegil enggan berunding dan bekerjasama dengan kita bagi menyelesaikan masalah," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, beliau sangat gembira dengan lawatannya ke sini apabila mendapati warga emas sesetengahnya dengan hanya dua gigi menyambut beliau dengan mesra membawa plakad "Saya Sayang PM".

Beliau berkata, ini satu petanda bahawa BN masih dekat di hati mereka dan menjadi pilihan mereka dalam pilihan raya akan datang. - BERNAMA