Followers

Thursday, 14 June 2012

MURKA

Kita dilahirkan di muka bumi ini hanyalah semata-mata mengabdikan diri kepada Allah.

Kita diberi Rasul Nabi Muhammad SAW dan kitab Al-Quran sebagai panduan agar kita dapat menunaikan segala titah perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA.

Meninggalkan segala suruhanNYA dan melakukan segala larangaNYA akan mengundang kemurkaanNYA.

Banyak sekali cerita-cerita kemurkaan Allah SWT kepada umat manusia terdahulu dirakam dalam Al-Quran.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan.....agar manusia dapat ambil pengiktibaran dan tidak mengulangi segala bentuk penderhakaan dan kekufuran sesetengah kaum yang terdahulu yang tidak menjalankan segala titah perintah dan menjauhi serta meninggalkan segala laranganNYA.

Selaku Al-Khaliq yang mencipta sekian makhluk, tiba-tiba manusia ingkar dan melawan titah perintahNya sedangkan nimatNya sentiasa disedut dan dihirup sesedap hati, maka amat wajarlah Allah SWT menurunkan berbagai bala sebagai tanda kemurkaanNYA.

Makhluk lain seperti sekian cekerawala, air, udara dan sebagainya tunduk dan patuh akan titah perintahNya hinggakan alam ini berjalan dengan harmonis sekali dan anihnya manusia yang serba lemah dan kekurangan ini boleh tinggal bersenang lenang di bumi ini dalam keadaan 'melawan' ketentuan Allah SWT.

Di antara yang tercatat di dalam Al-Quran tentang kemurkaan Allah SWT ialah seperti apa yang terjadi terhadap kaum Nabi Allah Nuh a.s. yang tidak beriman telah diturunkan banjir besar yang menenggelamkan segala bukit-bukau dan gunung-ganang sehingga mati semuanya kecuali 80 orang yang beriman, terselamat belayar di atas bahtera 'iman' bersama Nabi Allah Nuh a.s.

Begitu juga kaum Tsamud yang hancur lebur menjadi abu dek ledakan gunung berapi kerana kekufuran mereka.

Kaum Nabi Allah Luth yang mengamalkan seks di luar tabii ditunggang terbalikkan bumi ini sehingga semuanya lenyap dek kemurkaan Allah..

Kaum 'Aad juga menemui nasib yang sama, dilenyapkan dalam ribut taufan yang amat dasyat.

Begitu juga nasib Firaun, Haman......tentera Abrahah semuanya di'lenyap'kan dengan kemurkaan Allah SWT yang amat sangat.

Ingatlah saudara ku yang dikasihi, kemurkaan Allah tidak habis setakat di dunia ini......walaupun mereka yang menderhaka sudah lenyap ditelan bumi, namun di akhirat nanti kita akan dibangkitkan untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Allah RabbulJalil dan sekali lagi azab pedih akan menunggu sebagai pembalasan terakhir......maka amat beruntunglah mereka yang sentiasa mendapat RahmatNya terutama mereka yang menurut segala titah perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya di dunia ini.

Untuk mengelak daripada segala bala samada kecil atau besar, marilah sama-sama kita bertaubat kepadaNYA dan menghindarkan diri daripada perkara fasad dan mungkar atau berlaku zalim.

Ya Allah ampunkan kami, jangan Engkau murka ke atas kami.....sesungguhnya kami ini sentiasa lalai terhadap mu. Sesungguhnya azab Mu yang berupa bala di dunia ini teramat pedih sementelah lagi azab mu di akhirat nanti.

al-brangionline:

Istidraj juga satu bentuk kemurkaan Allah SWT kepada manusia yakni manusia yang sentiasa membuat kemungkaran dan dalam masa yang sama diberi segala nikmat yang berlebihan.....semakin banyak penderhakaan semakin banyak nikmat yang diterima hinggakan manusia terus menerus lalai mengingatinya.