Pelan peralihan kuasa telah diterima oleh Majlis Tertinggi UMNO dan Jemaah Kabinet. Adalah dijangkakan 2010 Pak Lah akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO.
Najib bersetuju dan redho dengan keputusan bossnya. Ke hulu ke hilir beliau menjaja pelan tersebut. Samada Najib serta seluruh Ahli Majlis Tertinggi serta Kabinet betul-betul redho atau buat-buat redho tiada siapa yang tahu. Ini soal hati. Benda di dalam siapa yang tahu.
Muhyiddin ada menyuarakan pelan peralihan tersebut terlalu lama. Beliau dikhabarkan akan menjadi runningmate kepada Ku Li dalam pemilihan UMNO Disember nanti. Mereka berdua ada membuat rayuan kepada Mahathir agar kembali semula ke pangkuan UMNO. Katanya kemasukan semula Mahathir dapat membantu serta menyelesaikan banyak masalah dalam UMNO. Ini sekali lagi soal hati. Benda di dalam siapa yang tahu. Mungkin kemasukan Mahathir kepangkuan UMNO dapat menyelesaikan hasrat serta membantu mereka hendak bertanding jawatan tertinggi dalam UMNO.
Selepas daripada senario di atas Najib dah mula memalu rebana Pahang. Rebana Pahang lebih besar daripada kompang tapi bunyinya tak selantang serta senyaring kompang. Beliau berkata soal penyerahan kuasa biarlah peringkat Bahagian yang menentukan.
Pak Lah menjadi gelabah, terkejut serta dah mula ada tanda-tanda nak marah.
Dalam bahasa yang mudah Najib serta Muhyiddin macam nak beritahu Bahagian, Jawatan Presiden mesti dipertandingkan. Jawatan Timbalan Presiden mesti dipertandingkan.
Gerak langkah seterusnya akan menjadi lebih menarik. Oleh kerana sistem kuota yang menjadi penghalang atau penyelamat untuk sesiapa yang nak bertanding, maka ia makin menjadi lebih menarik.
Ku Li siang-siang lagi dah menawarkan diri jawatan Presiden yang diidaminya sekian lama semenjak 1987 lagi, tetapi tak kesampaian.
Mampukah Pak Lah , Najib serta Muhyiddin memenuhi sistem kuota yang dicipta sendiri oleh Majlis Tertinggi Parti?
Persoalannya, kita secara tersurat tidak tahu Najib akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden atau mempertaruhkan masa depan carrier politiknya dengan bertanding Presiden. Ini bergantung bijaksana Bahagian memberi cukup pencalonan kepada beliau tidak kira apa warna jawatan. Beranikah Najib secara tersurat memaklumkan kepada Bahagian bahawa beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden? Mampukah beliau untuk mendampingi semua bahagian untuk menyampaikan hasrat murni beliau.
Berbalik kepada Muhyiddin, umum masih samar-samar dengan tahap keberanian beliau. Pada peringkat awalnya semacam dia nak bertanding Timbalan Presiden. Tetapi selepas itu dah semacam ada persetujuan dengan Najib, memberi laluan kepada Najib mempertahankan jawatan Timbalan Presiden. tetapi sekarang lain pulak ceritanya, tiba-tiba melenting sehingga Pak Lah terasa amat terkejut. Muhyiddin tidak menjelaskan pendiriannya dalam isu pemilihan pada Disember nanti.
Adakah beliau akan berganding dengan Ku Li untuk merebut jawatan No.2? Saya tak nampak beliau berani untuk ke jawatan No.1. Persoalannya, mampuke beliau menjelajah keseluruh pelusuk negara untuk berjumpa dan bertemu mesra dengan Bahagian-bahagian? mampukah beliau melayani karenah dan perilaku orang-orang di Bahagian?
Sebagai contoh Ali Rustam, walaupun Melaka tu kecil segi saiznya dan sedikit bilangan Bahagiannya, tetapi beliau berkemampuan untuk bertemu mesra serta melayani karenah orang-orang di Bahagian seperti Bahagian-bahagian di Terengganu, Kelantan, Perak bahkan seluruh Malaysia untuk mempertahankan jawatan Naib Presidennya.
Tunggu saja Mesyuarat peringkat Bahagian Oktober nanti. samaada Bahagian akan betul-betul berkokok persis ayam jantan berkokok memecah sunyi pagi. Maka perhimpunan di bulan Disember akan jadi lebih menarik
Bagi saya gaya percakapan serta keterampilan diluar mencerminkan apa didalam hati. Tapi dunia dah berubah. Mungkin diluar dah tak sama dengan di dalam? Terpulang.